Thursday, April 19, 2012

Tazkirah Faculty Corner pada 28 Mac 2012

TAZKIRAH FACULTY CORNER - 28 MAC 2012

Oleh: Puan Rosliza Ghazali

Program “Faculty Corner” pada 28 Mac 2012 diisi dengan tazkirah oleh Ustaz Wahairi Mahmud, Pensyarah Kanan CITU UiTM Terengganu. Tajuk 45 minit tazkirah “RasulAllah s.a.w sebagai Pendidik” adalah dipilih kerana tujuan slot tazkirah bagi pensyarah Perakaunan ini ialah untuk mengaitkan profession pensyarah dengan tuntutan agam (Islam) dan ia juga diharapkan dapat memberi motivasi dan semangat kepada pensyarah Perakaunan di dalam tugas memberi pendidikan kepada para pelajar UiTM ini. Sememangnya tugas mendidik ini bukanlah satu yang enteng dan mudah, tapi penuh dengan cabaran dan dugaan, terutamanya berhadapan dengan generasi baru yang agak berlainan sikapnya berbanding dengan pelajar dulu-dulu.

Di antara hadis yang dibacakan oleh Ustaz Wahairi ialah hadis yang diriwayatkan Ibnu Abbas r.a.

Semasa RasulAllah s.a.w bersama-sama dengan beberapa orang sahabat di dalam masjid, datang seorang pemuda Arab Badwi (orang ulu/ kampung) lalu kencing di dalam masjid tersebut. Melihat kejadian itu, para sahabat merasa sangat marah dan ingin memarahi pemuda itu. Tetapi RasulAllah s.a.w tidak memarahi pemuda itu, dipanggil oleh baginda dan bertanya kenapa dia berkelakuan sedemikian. Pemuda itu mengatakan dia tak tahu bahawa di dalam masjid tidak dibenarkan kencing. Lalu baginda RasulAllah s.a.w memberitahu perkara itu dan pemuda tersebut dibenarkan pergi. Kemudian baginda RasulAllah s.a.w memanggil serta menegur sikap para sahabat tadi. Baginda juga mengambil kesempatan mengajar kepada sahabat yang ada pada masa itu tentang bagaimana untuk mensucikan tempat yang terkena najis.

Jadi, daripada peristiwa ini ada beberapa perkara yang boleh dipelajari oleh kita dalam konteks seorang pendidik. Secara jelasnya, kita boleh ambil pengajaran betapa RasulAllah s.a.w ialah seorang pendidik yang sangat hebat, sikap baginda RasulAllah s.a.w langsung tidak dipengaruhi oleh emosi yang tidak baik seperti marah tanpa asas dan sebagainya. Sebaliknya, pendidikan atau tarbiyyah RasulAllah s.a.w adalah dilengkapi dengan akhlak murabbi yang sangat berhikmah dan berkesan kepada orang yang di didiknya.

Ada 2 kaedah pendidikan berkesan yang baginda RasulAllah s.a.w ajar umatnya daripada hadis ini:

(i) Sesuaikan cara mendidik dengan orang yang dididik, amat penting untuk pendidik memahami bagaimana latarbelakang orang yang dididik.

(ii) Pendidik mesti mempunyai akhlak yang mulia, sabar dan bertindak penuh hikmah.

Lalu terfikir oleh saya, selama mengajar hampir 17 tahun di UiTMT ini, adakah berkesan kaedah pendidikan saya kepada pelajar UiTMT ini?? Perkara untuk difikir dan dimuhasabah… Perbezaan persekitaran pelajar sekarang dengan pelajar dulu-dulu sepatutnya difahami oleh saya dan rakan-rakan pensyarah supaya kami boleh mengenalpasti di mana punca masalah mereka hari ini dan diharapkan daripada masalah yang dikenalpasti tadi, jalan penyelesaian bolehlah cuba difikirkan. Satu perbezaan yang besar ialah tentang teknologi yang ada sekarang seperti telefon bimbit, internet dan sebagainya. Daripada pemerhatian saya, ada ramai pelajar hari ini yang terlalu leka dengan facebook, “computer games”, movies dan sebagainya yang menyebabkan mereka tidak serius dalam pembelajaran, tiada ketekunan, malas dan kadang-kadang hilang “common sense” dan logik dalam pertimbangan! Satu contoh mudah, ramai pelajar hari ini yang tidak hadir kelas pukul 8 lagi hanya kerana tidur lewat kerana ‘berfacebook” pada malamnya! Fenomena pelajar “MIA” (missing in action atau langsung tidak hadir kuliah) setiap semester bertambah dalam fakulti ini. Mereka langsung tidak hadir kelas sepanjang semester tanpa sebab yang munasabah, menipu ibu bapa dan melanggar peraturan universiti seterusnya meningkatkan peratus kegagalan sesuatu kursus dalam fakulti…Perkara seperti ini jarang berlaku kepada pelajar dulu-dulu seperti pelajar awal tahun 2000.

Di dalam penutup ini, ingin saya mengambil intipati satu hadis yang juga disebut oleh yang berbahagia Ustas Wahairi. Di dalam satu riwayat, semasa RasulAllah s.a.w melalui dua kumpulan sahabat, satu kumpulan sedang berzikir and membaca Al-Quran dan satu lagi sedang berbincang dalam satu majlis ilmu. Apabila seorang sahabat bertanya “kumpulan manakah yang kamu suka?”, baginda menjawab “aku lebih sayangkan kumpulan yang berbincang di dalam majlis ilmu berbanding yang satu lagi”. Pengajarannya ialah majlis ilmu yang di dalamnya disebutkan nama Allah dan rasulnya adalah majlis yang lebih disukai oleh Allah dan rasulNya, melebihi ibadat-ibadat yang lain, ini adalah kerana kebaikan daripada majlis ilmu itu sangat banyak. Semoga daripada hadis ini, saya dan semua rakan-rakan pensyarah dalam Fakulti Perakaunan tidak akan “miss” program-program ilmu yang ada di sekeliling kami baik di masjid, surau, TV ataupun di mana-mana sahaja, insyaAllah.

Wallahu A’lam

Tuesday, April 3, 2012

jom e -filing



Jom e – filing bersama fakulti perakaunan UiTM (Terengganu)

Bulan perkhidmatan pembayar cukai
~ 1 Mac hingga 30 April 2012 ~

Adakah anda telah menjalankan tanggungjawab sebagai warganegara?

Kami sedia membantu anda.

Fakulti Perakaunan UiTM (Terengganu) dengan kerjasama LHDN akan menganjurkan program “Jom e – filing” khas untuk warga UiTM (Terengganu) & juga warga Dungun yang memerlukan perkhidmatan e-filing.

Tarikh: 9 April 2012
Masa: 9.30 pagi hingga 4.30 petang
Tempat : Dewan Jasmin UiTM Terengganu

Semua dijemput hadir. Bersama kita jalankan tanggungjawab sebagai warganegara.

_________________________
I added cool smileys to this message... if you don't see them go to: http://html.expresso.me/smileys